Rabu, 2 April 2014

Sejarah Kad Pengenalan Malaysia


Kad pengenalan Tunku Abdul Rahman - Perdana Menteri dari '57 - '70


Dari tahun 2000 sehingga 2010, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengeluarkan sebanyak 28.99 juta kad pengenalan MyKad.

Jumlah tersebut meliputi pengeluaran MyKad bagi gantian untuk permohonan disebabkan kes kerosakan dan kehilangan.

JPN adalah sebuah Jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bertanggungjawab mendaftar peristiwa-peristiwa penting setiap individu seperti maklumat kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan perceraian.


Kad pengenalan Tun Abdul Razak - Perdana Menteri dari '70 - '76


Ia ditubuhkan selepas Peraturan-peraturan Darurat (Kawasan-kawasan Pendaftaran) 1948 yang dikuatkuasakan sebagai salah satu langkah untuk menentang ancaman keselamatan.

Peraturan itu memerlukan semua penduduk supaya mendaftar dan memperolehi kad pengenalan apabila mencapai umur 12 tahun dan ke atas.

Kad pengenalan kini sudah menjangkau usia 63 tahun yang menyaksikan evolusi dari hanya sekeping kad kertas yang dikenali sebagai kad beras kepada MyKad iaitu kad pintar bercip yang diperbuat daripada bahan polikarbonat.

1948: Kad pengenalan kertas


Kad pengenalan Tun Hussein Onn - Perdana Menteri dari '76 - '81


>Pengenalan: Oleh pemerintah Inggeris di Malaya melalui Emergency [Registration Areas] Regulation 1948, bagi membendung ancaman pengganas komunis. Ia juga dikenali sebagai ‘kad beras’ kerana sewaktu catuan makanan pada zaman darurat bermula pada 1948 itu memerlukan bukti pengenalan diri bagi mendapatkan beras.

>Pelaksanaan: Digunakan di Semenanjung Malaysia dari tahun 1948 sehingga 1960.

>Ciri-ciri: Tujuan untuk keselamatan, tidak bersalut, gambar hitam putih, cap ibu jari kanan sahaja, maklumat asal penduduk, tiada taraf kewarganegaraan.


Kad pengenalan Tun Dr Mahathir Mohamad - Perdana Menteri dari '81 - '03


1960: Kad pengenalan plastik

>Pengenalan: Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) diperkenalkan bagi memperkemaskan lagi sistem pengeluaran kad pengenalan.

>Pelaksanaan: Digunakan di Semenanjung dari 1 Ogos 1960 sehingga 31 Mac. Diperkenalkan di Sarawak pada 30 Mac 1966 dan Sabah pada 1 Jun 1972.

>Ciri-ciri: Keselamatan yang baik, bersalut dan diproses secara teragih, empat warna bagi menentukan taraf warganegara, maklumat terperinci, gambar hitam putih, cap ibu jari kiri dan kanan.



Kad pengenalan Tun Abdullah Ahmad Badawi - Perdana Menteri dari '03 - '09


1990: Kad pengenalan bermutu tinggi

>Pengenalan: Bagi menggantikan kad pengenalan plastik. Juga dikenali sebagai kad pengenalan bunga raya.

>Pelaksanaan: Diperkenalkan pada April 1990.

>Ciri-ciri: Keselamatan yang tinggi, gambar hitam putih (1990) dan gambar warna (1999), cap ibu jari kiri dan kanan, maklumat terperinci dan bersalut.

Kad pengenalan pintar

>Pengenalan: Kad pintar yang dikenali sebagai MyKad.

>Pelaksanaan: Mulai akhir 2000 di Semenanjung dan awal 2002 di Sabah dan Sarawak. Penukaran kad pengenalan bermutu tinggi kepada Mykad adalah secara sukarela dan percuma mulai tahun 2003 sehingga 2005.

>Ciri-ciri: Kad pengenalan mempunyai ciri keselamatan tinggi dan berteknologi cip yang kini diperbuat daripada bahan polikarbonat. Pada masa ini, ia memuatkan aplikasi lapan tambah satu (8+1) dalam satu kad.

SEJARAH PERKEMBANGAN FILEM MELAYU


Sejarah perkembangan filem Melayu pertama yang dihasilkan di Tanah Melayu ialah Laila Majnun (1933) yang dihasilkan oleh B.S.Rajhan, pengarah yang berasal dari India. Filem Laila Majnun ini telah dijadikan rujukan oleh pengarah-pengarah filem Melayu selepasnya kerana kejayaan filem tersebut meraih kutipan tiket “pecah panggung”. Namun begitu, filem Laila Majnun ini lebih mengikut cita rasa masyarakat India pada masa itu yang merupakan filem adaptasi daripada filem Bollywood yang mempunyai tajuk yang sama dengan filem tersebut. Acuan filem ini dirangka oleh B.S.Rajhan dan dibantu oleh pengarah-pengarah dari India yang lain seperti Phani Manjumdar, S.Ramanathan, B.N.Rao dan L.Krishnan. 
Penghasilan filem ini juga adalah berdasarkan kehendak masyarakat setempat iaitu untuk orang Melayu kerana budaya Melayu ketika itu mempunyai ciri-ciri budaya India. Filem ini juga dikatakan mempunyai nilai jiwa yang cukup tinggi dan mempunyai pengajaran cukup mendalam kepada masyarakat Melayu pada zaman itu. Isu yang hangat diperkatakan pada masa kini adalah filem-filem Melayu yang dihasilkan pada zaman moden ini dikatakan tidak mempunyai nilai jiwa dan dianggap lebih cenderung ke arah kapitalisme semata-mata. Persoalannya, adakah pernyataan ini benar bahawa filem pada zaman ini tidak mempunyai nilai jiwa jika ingin dibandingkan dengan filem-filem pada zaman dahulu?.
Selain itu,penghasilan filem ini juga berdasarkan kehendak masyarakat setempat iaitu untuk orang Melayu sahaja. Budaya Melayu pada ketika itu mempunyai ciri-ciri budaya India atau Hindu. Namun begitu apabila muncul filem Melayu iaitu filem Penarek Becha yang dihasilkan oleh anak seni Melayu yang kreatif iaitu P. Ramlee,berlakulah pembaharuan dalam pengisian acuan filem Melayu Negara. Oleh itu, filem melayu mengalami revolusi ke arah filem yang mempunyai jiwa Melayu yang membawa pengertiaan subjektif kepada masyarakat Melayu. Filem Melayu ini pada era studio memperlihatkan keperluan pengisian jiwa Melayu yang disebabkan oleh dua faktor utama iaitu filem Melayu merupakan alat hiburan yang mutlak dan filem melayu merujuk kepada orang melayu setempat iaitu masyarakat singapura.
Filem Melayu pada masa dahulu dikatakan memperlihatkan keperluan pengisian jiwa adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Faktor pertama ialah filem melayu pada masa itu manjadi alat hiburan mutlak. Peranan ini berdasarkan asal usul filem Melayu yang diarahkan oleh pengarah dari India seperti B.S.Rajhan. Namun begitu, ada juga sesetengah pemilik seperti Shows Brothers dan Cathay Keris menghasilkan filem Melayu untuk mengaut keuntungan. Jadi, pernyataan bahawa filem Melayu pada masa kini adalah bersifat kapitalisme adalah tidak benar kerana penerbit filem pada masa dahulu juga mempunyai tujuan yang sama iaitu untuk mengaut keuntungan. Kebanyakan filem pada masa dahulu juga membawa tema yang ringan dan bersifat personal. Filem Melayu juga lebih berkisar tentang perbezaan darjat, konflik rumah tangga, cinta sejati dan kisah wanita. Ternyata jiwa orang Melayu lebih sensitive terhadap keperluan emosi seperti cinta dan kasih sayang.
Faktor kedua dari aspek identifikasi khusus, orang Melayu dalam filem Melayu merujuk kepada orang Melayu setempat iaitu masyarakat Melayu Singapura. Hal ini dapat dilihat pada lokasi penggambaran yang dibuat di studio Singapura. Hasil kreativiti pengarah, identifikasi khusus berjaya dialihkan melalui tema universal sebagai mewakili identifikasi Tanah Melayu. Dari segi sejarah, Singapura merupakan antara negeri Selat yang menjadi anak emas kepada penjajah Inggeris.Walaupun terletak dengan penggambaran di studio,pengarah filem masih berpandukan suasana persekitaran Singapura yang sempurna.Namun begitu selepas kemerdekaan ,filem Melayu memperlihatkan peralihan jiwa Melayu.Sebagai contoh,filem Sarjan Hassan (1957) , Raja Laksaman Bentan (1959) , Singapura dilanggar todak (1962) dan Hang Tuah (1961).Melalui filem ini, orang Melayu digambarkan sebagai pejuang bangsa dan memberontak terhadap penguasa yang zalim.
Pada era 2000 hingga 2007 hasil pengarah generasi baru yang digarap dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK),berlaku perkembangan kreativiti yang mengangkat kelainan tema filem Melayu.Filem Melayu sekarang sudah berubah wajah selari dengan evolusi masyarakat setempat.Tambahan pula filem Melayu turut diresapi oleh pengaruh budaya masyarakat majmuk,globalisasi dan gaya hidup masyarakat moden.Penghasilan filem Melayu lebih cenderung kea rah kapitalisme.Jiwa Melayu sebegini mengangkat semangat Melayu yang lebih terbuka dan liberal contohnya filem Gubra (2006),Gol dan gincu (2005),dan Salon (2005) mengalami perubahan jiwa Melayu mengikut konteks semasa.Melalui identifikasi Melayu dalam filem watak orang Melayu digambarkan lebih bersifat Melayu metropolitan.Perkara ini adalah hasil daripada kreativiti dan pengarah yang mendapat pengaruh daripada suasana kota besar.Melalui file mini watak Melayu hampir meniru masyarakat yang lahir dari kota besar seperti London dan Tokyo.Walau bagaimanapun komposisi masyarakat Melayu Bandar lebih kecil jika dibandingkan dengan masyarakat luar bandar.Pembentukan Melayu baru oleh pengarah Bnard Chauly,gagal diterima oleh masyarakat setempat memandangkan majoriti penonton filem Melayu merupakan penonton Melayu luar Bandar.
Selain itu juga,filem gubra cuba mengangkat konsep Melayu ke arah keagamaan (Islam ) secara terbuka .Watak Melayu seperti Bilal,pelacur dan Orkid merupakan watak Melayu baharu pilihan pengarang .Pengarang mencipta suasana yang sinis terhadap sifat Melayu agar segala pantang larang Melayu dibongkar.Andaian pengarang pantang larang dalam filem ini dianggap penghalang kemajuan orang Melayu.Semangat Melayu yang diangkat oleh pengarah Jasmin Ahmad dalam filem gubra berlandaskan latar belakang keluarga dan pengalaman beliau.Namun begitu,seperti filem gold an gincu semangat Melayu dalam filem tersebut tidak boleh diterima dalam masyarakat setempat.Watak Melayu yang dicipta dalam filem tersebut cuba membawa jiwa Melayu yang bebas dan selari dengan jiwa semasa.Berlainan pula filem arahan Rahim Razali,walaupun beliau mempunyai latar yang sama dengan Benard Chauly dan Jasmin Ahmad,beliau masih menitik semangat patriotisme Melayu secara jujur dalam filem arahannya seperti Abang,(1981),Matinya seorang patriot(1984),dan Tsu-Feh Sofiah(1986).Pembentukan watak Melayu secara sinikal lebih jelas dan kukuh menerusi sentuhan Rahim Razali.
Dalam pencarian semangat Melayu,definisi watak Melayu sekarang berbeza daripada filem-filem pada era P.Ramlee.Pada era ini,definisi Melayu dicipta oleh pengarah untuk tujuan hiburan dan lebih bersifat personal.Semangat Melayu pada era P.Ramlee menolak adat dan budaya yang tidak relevan setempat khususnya masyarakat Melayu Islam seperti filem Nujum Pak Belalang (1959) mengangkat persoalan Melayu pemalas dan suka menipu untuk keuntungan diri dan filem Masuk Angin Keluar Asap(1963) mempersoalkan konsep kejiranan dalam kalangan masyarakat Melayu.Masyarakat Melayu pada ketika itu menonton filem sebagai hiburan semata-mata dan filem dicipta bukan untuk mencabar minda.Walau bagaimanapun,semangat Melayu yang ditunjukkan oleh pengarah filem Melayu pada era Rahim Razali ataupun A.R Badol pada 1980-an menampakkan perubahannya,Filem yang dihasilkan oleh mereka seolah-olah menolak semangat Melayu yang sedia ada dan memberikan pendekatan Melayu mengikut acuan aliran budaya luar.
Mengikut perlembagaan persekutuan,perkara 160(2) takrifan orang Melayu merangkumi orang yang beragama Islam,bertutur dalam bahasa Melayu,mengamalkan adat istiadat Melayu dan lahir sebelum hari kemerdekaan sama ada di Persekutuan,Singapura atau pada hari merdeka, dan bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.Mengikut pendapat Syed Hussin,ahli antropologi yang terkenal di tanah air dalam bukunya masyarakat dan budaya Melayu(1988) orang Melayu itu dari segi zahirnya,lazimnya berkulit sawa matang,berbadan sederhana,besar atau tegap serta berlemah lembut dan berbudi bahasa.Oleh hal demikian, semangat Melayu yang ditunjukkan dalam filem Melayu sewajarnya mengangkat eleman yang dinyatakan itu.Pendapat Syed Hussin merupakan pencirian asas terhadapa spek orang Melayu.Hal yang demikian kerana masyarakat Melayu sekarang kebanyakan mengamalkan perkahwinan campur.Hasil pewrkahwinan tersebut pencirian fizikal Melayu jelas berbeza terutama berlaku perubahan pada kulit sawa matang,berbadan sederhana besar dan tegap.
Kesimpulannya,dalam hal ini semangat Melayu yang melingkar di setiap ruang filem Melayu sudah lama wujud.Bezanya,terletak pada pencirian ini yang diangkat secara mutlak atau tidak.Bagi mencari jawapan tentang persoalan semangat Melayu yang di bentuk dalam filem,keadaan ini bergantung kepada kehendak pengarah filem.Ideologi sesebuah filem sebenarnya secara halus dipengaruhi oleh persepsi pengarah-pengarah tentang persekitan ataupun sesuatu isu yang ingin dikupas.Filem sebenarnya bukan hak milik peribadi pengarah untuk membicarakan hal peribadi tetapi merupakan medium yang penting untuk menyampaikan propaganda serta sesuatu ideologi secara halus.

Selasa, 1 April 2014

Carcosa Seri Negara

Carcosa Seri Negara yang terletak di sebelah Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur telah dibina oleh Sir Frank Swettenham pada tahun 1896 dan merupakan kediaman rasmi beliau pada masa itu. 

Beliau telah berpindah masuk pada tahun 1904 dan telahmenggelarkannya 
"Carcosa", daripada perkataan Itali yang bermaksud "tempat yang amat disayangi". 

Pada masa yang sama, Sir Frank Swettenham juga telah menyiapkan pembinaan bangunan "King House" di tepi bukit sebelah Carcosa. Tujuan pembinaan King's House, yang kini dikenali sebagai "Seri Negara" (bermaksud "negara indah"), adalah untuk melindungi Gabenor Negeri-negeri Selat serta tetamu-tetamu Persekutuan Tanah Melayu yang merupakan orang penting pada masa itu.

Sir Frank Swettenham, Penasihat British bagi Sultan Perak, telah mencadangkan penggabungan keempat-empat negeri menjadi sebuah persekutuan. Cadangannya diterima oleh sultan-sultan berkenaan dan Pejabat Luar Negeri British. Seterusnya, Sir Frank Swettenham telah dilantik sebagai Residen-Jeneral pertama bagi Negeri-negeri Melayu Persekutuan. 



Kuala Lumpur pada masa itu merupakan sebuah kampung sederhana yang pada khususnya didiami oleh pelombong timah berbangsa Cina. Akan tetapi Sir Frank Swettenham mencintai tapak ini sejak 1888 sewaktu melawat kawasan hutan di pinggir barat. Beliau merasakan bahawa bandar itu iaitu Kuala Lumpur memerlukan sebidang kawasan awam, Sir Frank Swettenham telah mengempang sungai di tengah hutan. Sungai itu menjadi tasik dan hutannya pula menjadi apa yang kini dikenali sebagai Taman Tasik Perdana.

Dari tahun 1904 sehingga serangan Jepun pada tahun 1941, Carcosa merupakan kediaman rasmi wakil-wakil tertinggi British di negeri-negeri Melayu. Semasa Perang Dunia II, Carcosa menjadi Dewan Mes Pegawai Kanan Tentera Jepun. Pada Ogos 1945, Tentera British menggunakan tempat itu untuk kegunaan Pegawai-pegawai Kanannya sehingga Ketua Setiausaha dilantik.

Dengan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957, Carcosa menjadi kediaman rasmi Pesuruhjaya Tinggi British, sedangkan King's House merupakan rumah tetamu rasmi bagi tetamu Malaysia yang terpenting. Carcosa telah diserahkan kepada Kerajaan Malaysia pada tahun 1987. Pada tahun 1989, selepas Ratu Elizabeth II mendiami Carcosa semasa "Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel" (CHOGM), pentadbiran kedua-dua rumah agam digabung yang kini lebih dikenali sebagai "Carcosa Seri Negara".

Kini, Carcosa merupakan salah satu daripada hotel utama di Kuala Lumpur. Hotel ini mempunyai 13 suite yang dihiasi dengan gaya esklusif dengan kain broked, goresan lama dan objek karya seni. Kesemua suite dipasang dengan alat penyaman udara dan dilengkapi dengan bar mini, peti besi peribadi, televisyen satelit, meja tulis, pemain DVD/CD dan talian internet. Purata kadar suite adalah dari RM1,100 hingga RM3,500 sehari, tidak termasuk caj perkhidmatan sebanyak 10% dan cukai perkhidmatan sebanyak 5%.

Legenda Puteri Santubong

Jika dilihat dan diteliti Gunung Santubong kelihatan seperti seorang wanita sedang berbaring. Gunung Santubong merupakan gunung legenda yang terletak 35km di utara bandar Kuching, Sarawak. Ia setinggi 810 meter, 2658 kaki persegi dari paras laut berada dikedudukan sebuah semenanjung di Buntal.Jika dilihat dari kejauhan ia amat mendamaikan dengan keadaan sekelilingnya sentiasa diselubungi awan dan kabus.
Gunung Serapi merupakan gunung legenda yang terletak 20 km di barat Bandar Kuching, Sarawak. Ia setinggi 911 meter atau 2600 kaki persegi dari paras laut dan berada dikedudukan banjaran Gunung Matang.
Berikut adalah dua versi legenda mengenai puteri santubong buat tatapan dan pengkisahan maklumat sejarah kita.
Versi 1
Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang adalah dua puteri Sultan Brunei yang telah melarikan diri bersama tujuh orang saudara lelaki mereka selepas ayahanda mereka, Sultan Brunei dibunuh di dalam satu komplot rampasan kuasa. Memandangkan tujuh putera ini ingin melarikan diri ke Tanah Melayu, mereka perlu menyeberangi Laut China Selatan maka mereka telah bersepakat meninggalkan kedua-dua saudara mereka di Bukit Santubong.
Penduduk kampung berasa hairan dengan kehadiran kedua-dua puteri tersebut kerana mereka tidak pernah melihat kedua-duanya ditambah pula dengan kecantikan mereka yang luar biasa. Mereka dianggap sebagai puteri yang turun dari kayangan. Penduduk kampung dan puteri-puteri ini hidup aman damai sehinggalah kedua-dua mereka bergaduh dan berbunuh kerana menganggap seorang lebih cantik dari seorang lagi. Oleh itu, timbullah legenda Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang.
Kembali kepada tujuh bersaudara itu pula, mereka telah meneruskan pelayaran mereka sehinggalah mereka sampai di Pulau Pinang menaiki burung bayan. Setelah mendarat mereka mencari tempat tinggal. Semasa di Pulau Pinang burung bayan yang ditunggang telah terlepas maka dari situlah Bayan Lepas di Pulau Pinang mendapat namanya. Difahamkan carta organisasi salasilah keturunan ini masih wujud di sana.
Versi 2
Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang asalnya dari kayangan merupakan dua orang puteri sepupu. Ayahanda mereka Dewata Mulia Raja Kayangan telah menitahkan agar mereka turun ke bumi untuk menyelesaikan pertelingkahan dua kampung. Sebelum turun ke bumi, kedua-dua puteri telah dipesan agar jangan berlaku pergaduhan antara mereka yang mana kesannya mereka akan terkena sumpahan dan kekallah mereka di bumi.
Ketika kedua-dua puteri tiba ke bumi, penduduk kedua-dua Kampung Pantai Biru dan Pasir Kuning sungguh hairan melihat cahaya terang laksana mentari menyusuri kampung mereka. Kejelitaan dan sifat kewanitaan amat terserlah pada kedua-dua puteri ini.
Puteri Santubong telah menetap di kampung Pantai Biru dan menurunkan kemahiran menenun kain kepada orang-orang kampung di situ manakala Puteri Sejinjang pula mengajar mengasingkan sekam padi dengan aluk kepada orang-orang kampung Pasir Kuning. Dengan tunjuk ajar kedua-dua puteri ini, pertelingkahan pertukaran barang-barang yang berlaku selama ini telah terhapus dan orang-orang kampung hidup aman dan damai. Kain tenunan Puteri Santubong begitu unik dan dijual dengan harga tinggi manakala tanaman padi Puteri Sejinjang begitu subur dan menjadi. Malangnya, kemakmuran yang dikecapi ini tidak berkekalan.
Kehadiran Putera Serapi dari Matang untuk melihat kehebatan kedua-dua kampung serta kecantikan dan kejelitaan kedua –dua puteri telah menimbulkan perasaan iri hati dan cemburu di hati kedua-dua puteri. Ini adalah kerana kedua-dua mereka telah jatuh hati dengan ketampanan, kewibawaan dan keperkasaan Putera Serapi yang mana telah jatuh hati kepada kejelitaan dan keayuan kedua-dua puteri juga.
Sementara itu, Panglima Putih berasa amat kecewa kerana pinangannya ditolak Puteri Sejinjang. Kampung Pasir Putih dibakar oleh Sang Bualang menyebabkan Puteri Sejinjang melarikan diri ke istana Puteri Santubong.
Mereka sering berjumpa dan memadu kasih. Putera Serapi telah menyatakan hasrat untuk memperisterikan kedua-dua puteri tetapi kedua-duanya tidak bersetuju kerana beranggapan masing-masing lebih jelita dan pandai. Perasaan benci,dendam dan iri hati makin menebal di dalam hati kedua-dua puteri demi untuk menawan hati Putera Serapi.
Mereka menggunakan kuasa kesaktian yang ada dan telah bergaduh berhari-hari lamanya untuk mempertahankan kejelitaan dan kemahiran masing-masing. Dalam kemarahan, Puteri Sejinjang telah mencapai aluk lalu dihayun dan terkena pipi Puteri Santubong. Jika diteliti lekukan ini dapat dilihat di Gunung Santubong sehingga kini. Melalui kudrat dan kekuatan yang terakhir, Puteri Santubong telah menikam belida di kepala Puteri Sejinjang menyebabkan otaknya bersepai lalu tersungkur kerana kesakitan. Secara tiba-tiba kilat sabung-menyabung disertai guruh berdentum. Cahaya terang dari langit kelihatan lalu mengangkat kedua-dua puteri ke kayangan.
Sumpahan kayangan berkekalan menjadikan Puteri Santubong sebagai gunung dan Puteri Sejinjang sebagai Pulau Kera . Putera Serapi yang kecewa terus membawa diri ke Gunung Serapi.
Jika diteliti dan diamati, gunung santubong kelihatan seperti seorang wanita sedang berbaring dengan rambut panjangnya yang terurai.Akibat pukulan belida yang amat kuat otak Puteri Sejinjang telah bersepai dan berselerakan menjadi Pulau Kera,Pulau Talang-talang,Pulau Satang,Pulau Lakir dan beberapa pulau kecil yang berhampiran

Versi legenda ini lebih diterima sehingga memberikan ilham kepada Tuan Haji Madeli Johari, bekas pengarah RTM Sarawak untuk mencipta lagu Puteri Santubong seperti di bawah. Buat mereka yang rajin menghayatinya, dilampirkan juga versi Bahasa Melayu Baku.

Lagu Puteri Santubong
VERSI ASAL

Puteri Santubong


Oh......
Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, Zaman mensia maya.

Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak Dewa turun kayangan.

Oh......
Santubong puteri bertenun kain malam,
Oh......
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.

Satu hari nya dua kelahi,
Beranuk anuk sik renti-renti,
Seorang madah dirik bagus agik,
Seorang sik ngalah walau sampai ke mati.

Udah lejuk nya duak kelahi,
Lalu bertukuk nya duak puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Tebik Santubong sampai gituk ari.

Tapi Santubong membalas juak,
Lalu ditikam batang belidak,
Sampei terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabor jadi Pulo Kera.

Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Kinik tuk tinggal jadi kenangan,
Pakei ingatan sepanjang zaman.
VERSI TERJEMAHAN

Puteri Santubong


Oh...
Puteri Santubong,
Sejinjang sayang,
Kisah lama, zaman dulu kala.

Puteri Santubong, Puteri Sejinjang,
Penjaga gunung Negeri Sarawak,
Cantik, tak ada yang dapat lawan,
Anak Dewa-dewa turun kayangan.

Oh...
Santubong puteri bertenun kain malam,
Oh...
Sejinjang puteri menumbuk padi siang.

Satu hari mereka dua bergaduh,
Mengata-ngata tak henti-henti,
Seorang cakap dirinya bagus lagi,
Seorang tak kalah walau sampai ke mati.

Sudah jemu mereka dua bergaduh,
Lalu saling memukul mereka dua puteri,
Sejinjang mengayun aluk ke pipi,
Mencalarkan Santubong sampai hari ini.

Tapi Santubong membalas juga,
Lalu dibaling batang belidak,
Sampai terkena Sejinjang kepala,
Lalu bertabur jadi Pulau Kera.

Kisah Santubong, kisah Sejinjang,
Asal berkawan jadi musuhan,
Sekarang mereka jadi kenangan,
Untuk diingati sepanjang zaman.
Kesimpulan
Penceritaan ini adalah sekadar memperkayakan kisah legenda tanah air yang penuh dengan maksud tersirat buat renungan dan iktibar bersama.

Sumpahan Mahsuri

Makam Mahsuri dan plat yang menceritakan kisah dan sumpahannya
Potret yang menggambarkan wajah Mahsuri


Dikatakan, kisah Mahsuri yang sinonim dengan Pulau Langkawi, berlaku sekitar pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah III (1778-1797) dan Sultan Ziyauddin Mukarram Shah II ibni al-Marhum Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin Muadzam Shah (1797-1803) di Kedah, yang mana pada waktu itu, ibu bapa Mahsuri yang bernama Pandak Mayah dan Endak Alang baru saja berhijrah ke Langkawi dari Selatan Thailand, demi mencari masa depan yang lebih baik.

Kelahiran Mahsuri itu sendiri disulami dengan keajaiban apabila dikatakan sebenarnya Pandak Mayah dan Endak Alang tidak mempunyai anak walaupun telah lama berkahwin. Namun pada suatu hari, Pandak Mayah menemui kerak nasi yang mengeluarkan bunyi seakan bayi menangis sewaktu berehat setelah mengerjakan sawah. Kerak nasi tersebut dicampur sedikit dengan nasi yang ditanak, dan untuk berberapa lama, akhirnya Endak Alang hamil. Dan sewaktu Mahsuri dilahirkan dikatakan padi menguning seakan emas yang berkilauan. Kehadiran Mahsuri dalam kehidupan pasangan miskin itu membuka pintu rezeki yang luas apabila Pandak Mayah menemui lubuk kemenyan dan juga sarang burung layang-layang, yang kemudiannya menjualnya kepada pedagang-pedagang Cina dari Pulau Pinang. Sejak dari itu kehidupan tiga beranak itu berubah dan Pandak Mayah mula digelar Orang Kaya Pandak Mayah.

Mahsuri dididik dengan segala nilai seorang gadis melayu sejati, pelajaran agama yang cukup serta dikatakan juga Mahsuri diajar bersilat demi mempertahankan diri. Akhirnya Mahsuri membesar sebagai seorang dara pingitan yang menjadi sebutan dan rebutan kerana sifatnya dan tentunya kejelitaannya yang dikatakan cukup luar biasa. Kemahsyuran Mahsuri bukan setakat terbendung di Kampung Mawat dan Mukim Ulu Melaka-tempat tinggalnya, malah seluruh Pulau Langkawi. Namun selain dari kemahsyuran yang disebut orang, sedikit sebanyak membuahkan rasa iri hati terutamanya di kalangan kaum wanita, yang tidak senang melihat kebanyakan lelaki memuji-muji Mahsuri.

Ini termasuklah Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya, Penghulu Langkawi iaitu wakil Sultan Kedah di Langkawi. Dan pastinya mengundang rasa resah yang meluap-luap dari isterinya, Wan Mahora. Rasa amarah membara apabila Wan Mahora mendapat tahu yang suaminya menyimpan hasrat untuk memperisterikan Mahsuri sebagai isteri kedua. Namun, Wan Darus, adik lelaki tunggal Wan Yahya juga menyimpan hasrat untuk memperisterikan Mahsuri. Demi mengelakkan rumah tangganya goyah, memandangkan Wan Yahya adalah pembesar di pulau itu, Wan Yahya merestui akan niat Wan Darus, walaupun dalam diam Wan Yahya masih menyimpan keinginan terhadap Mahsuri.

Majlis perkahwinan berlangsung dengan secara besar-besaran dan penuh meriah. Wan Mahora menerima Mahsuri sebagai iparnya walau pun jauh disudut hati, cemburu masih ada. Maka, bermulalah kehidupan Mahsuri sebagi isteri kepada Wan Darus dan dalam pada masa yang sama menyebabkan kekecewaan di hati kebanyakan lelaki yang gagal memilikinya, dan juga wanita, tentunya kerana kejelitaan yang dimiliki Mahsuri dan bersuamikan Wan Darus, yang dikatakan juga seorang pahlawan yang gagah perkasa serta tak kurang tampannya.

Namun dalam pada masa yang sama hubungan Kedah dan Siam bertambah keruh. Siam mula menakluki utara Kedah, menyebabkan perang berlaku. Baginda Sultan memerintahkan tentera dikerah dari setiap ceruk rantau negeri Kedah demi mempertahankan negeri. Dan dalam pada masa yang sama Mahsuri sedang hamil anak yang sulung. Datuk Pekerma Jaya memeperintahkan orang-orang Langkawi dikumpulkan untuk membantu tentera Kedah yang sedang berperang dan ini termasuklah Wan Darus.

Dengan hati yang berat Mahsuri terpaksa melepaskan suaminya yang tercinta pergi, tambahan pula Mahsuri seperti dapat merasakan yang beliau seperti tidak akan dpat berjumpa suaminya lagi. Untuk menghilangkan rasa rindu terhadap suami, Mahsuri berpindah ke rumah ibu bapanya, tambahan pula beliau sedang sarat mengandung. Setelah cukup sembilan bulan sepuluh hari, maka lahirlah tanda cinta antara Mahsuri dan Wan Darus, seorang bayi lelaki yang dinamakan Wan Hakim.

Namun, langit tidak selalunya cerah. Kedamaian hidup Mahsuri bakal berubah apabila seorang pendatang tiba berlabuh di pantai Langkawi, seorang lelaki muda bernama Deramang. Deramang dikatakan berasal dari sebuah tempat bernama Batu Bara di Acheh. Beliau mendapat perhatian oleh ayah Mahsuri, Pandak Mayah dan beliau ditawarkan bekerja untuknya membantu bercucuk tanam dan bertani. Namun selain dari rajin dan gigih, Deramang memiliki bakat semulajadi yang luar biasa iaitu kebolehan berdendang dan bersyair. Kebolehannya itu menarik perhatian penduduk setempat berkumpul dirumah Pandak Mayah hampir setiap malam, dan dengan ini menaikkan nama Mahsuri sekeluarga.

Kemahsyuran melimpah ruah yang diperolehi oleh Mahsuri itu ternyata tidak disenangi sesetengah orang, yang tentunya iparnya sendiri, Wan Mahora yang telah sekian lama menyimpan rasa dendam dihati. Tambahan pula kedudukannya sebagai isteri pembesar mula dilupakan orang, berbanding iparnya sendiri, Mahsuri. Iri hati yang telah lama tersimpan bertukar menjadi luka yang bernanah dan Wan Mahora mengambil keputusan, sampai masa Mahsuri harus menerima balasan! Sesuatu rancangan sedang bercambah dalam pemikirannya...

Wan Mahora memerhatikan keakraban Mahsuri dan Deramang dan disitu, beliau melihatnya sebagai peluang yang tak patut dilepaskan. Isteri pembesar itu membisikkan kata-kata racun kepada suaminya Datuk Pekerma Jaya Wan Yahya. Pada mulanya Wan Yahya tidak mengendahkan tapi apabila sudah tidak mampu menahan asakan, Wan Yahya bertindak untuk memerhatikan tindak-tanduk Mahsuri. Rancangan Wan Mahora berhasil apabila kebetulan suatu hari Deramang dilihat naik ke rumah Mahsuri yang tanpa disedari Deramang hanya diminta untuk menjaga anak Mahsuri, Wan Hakim, sementara Mahsuri berada di bendang. Lantas, Datuk Pekerma Jaya memerintahkan orang-orangnya, diketuai oleh Panglima Hitam, menangkap Mahsuri. Mahsuri diseret ke Balai Adat di sebuah tempat bernama Padang Mat Sirat untuk diadili bersama-sama Deramang. Dan tanpa diberi peluang untuk membela diri, Mahsuri dan Deramang dijatuhkan hukuman bunuh! Wan Mahora dalam diam tersenyum puas...

Pandak Mayah dan Endak Alang terperanjat dengan apa yang dikhabarkan orang mengenai anaknya lantas bergegas menuju ke Padang Mat Sirat demi membela Mahsuri. Pandak Mayah menawarkan segala emas, kerbau dan segala harta kekayaannya demi nyawa puteri tunggalnya namun ditolak mentah oleh Datuk Pekerma Jaya, dengan alasan, dosa yang dilakukan Mahsuri-bermukah dan melakukan hubungan sulit dengan lelaki lain tidak dapat diampunkan. Mahsuri dibawa ketempat hukuman dan diikat di sebatang pokok. Deramang cuba menentang namun berjaya dia dibunuh oleh orang-orang Datuk Pekerma. Dan kini tiba masa giliran Mahsuri.

Tempat hukuman tersebut dipenuhi oleh orang kampung yang ingin menyaksikan hukuman yang bakal diterima oleh Mahsuri. Pandak Mayah dan Endak Alang masih belum putus asa masih terus cuba merayu dari Datuk Pekerma dan Wan Mahora demi nyawa Mahsuri dan anaknya yang baru berusia dua bulan dan masih menyusu. Namun langsung tidak mendapat simpati dari pembesar itu. Padanya, aib yang dilakukan Mahsuri terlalu besar dan memalukannya sebagai ipar kepada Mahsuri. Sebatang tombak ditikam ke badan Mahsuri tapi dengan kuasa Allah, amat mengejutkan semua mereka yang berada ditempat hukuman, tombak tersebut langsung tidak dapat menembusi malah melukakan tubuhnya! Keadaan ini memaksa pertanda menikam Mahsuri bertubi-tubi. Ini menjadikan keadaan bertambah kalut, dan pastinya mencemaskan Wan Mahora, seandainya peristiwa aneh ini akan dapat membuktikan yang Mahsuri tidak bersalah pastinya akan mengundang aib kepadanya. Lantas Wan Mahora menyeksa Mahsuri demi memberitahunya akan rahsia bagaimana hendak membunuh Mahsuri.

Mahsuri yang terlalu lemah dan tidak bermaya sudah tidak mampu menahan seksaan dari Datuk Pekerma dan Wan Mahora, lantas dengan berat hati yang teramat sangat terpaksa memberitahu akan sebuah rahsia keluarga yang telah lama terpendam. Seorang utusan dititahkan bergegas ke Kampung Mawat, untuk mendapatkan sebilah keris pusaka keluarga Pandak Mayah yang didakwa Mahsuri, satu-satunya senjata yang dapat memutuskan nyawanya. Tanpa membuang masa apabila keris itu berjaya diperolehi, Datuk Pekerma sendiri mengambilnya dan menikam Mahsuri! Tikamannya menembusi rusuk kiri dan buah dada Mahsuri. Dalam keadaan lemah dan tidak bermaya, menantikan nyawa melepasi kerongkongnya...Mahsuri melafazkan kata-kata yang bakal diingati sepanjang zaman...

" Ya Allah, Ya Tuhan Yang Maha Melihat Segalanya, aku redha akan matiku jika benar aku bersalah tapi jika benar aku dianiaya...ssesungguhnya aku haramkan darahku mengalir ke bumi ini, dan aku sumpah, bumi Langkawi tidak akan aman, berpuakalah menjadi padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan!"

Dan lebih memeranjatkan, darah yang mengalir dari luka tikaman itu berwarna putih, membuktikan penganiayaan yang berlaku keatasnya...namun segalanya sudah terlambat. Mahsuri terkulai dan menghembuskan nafas yang terakhir. Kuasa Allah Yang Maha Besar, kilat sabung menyabung dan ribut melanda Padang Mat Sirat. Kejadian yang menyusul kematian Mahsuri membuktikan yang dia tidak bersalah dan orang ramai mula mengutuk tindakan membabi buta yang dilakukan oleh Datuk Pekerma Jaya. Tapi, segalanya sudah terlambat...

Wan Darus pulang ke Langkawi setelah kekalahan tentera Kedah di Kuala Muda namun kekecewaan yang sedang ditanggungnya bertimpa-timpa lagi apabila menerima berita kematian isteri tercinta. Harapan untuk kembali bersama keluarga yang sekian lama dirindui punah dan hancur. Dengan itu, bersama langkah yang berat, Wan Darus mengambil keputusan untuk meninggalkan Langkawi yang sudah tidak lagi menjanjikan kebahagiaan padanya, bersama anaknya Wan Hakim serta kedua ibu bapa mertuanya, Pandak Mayah dan Endak Alang. Tetapi, keadaan masih belum berakhir di Langkawi...

Tentera Siam mara keseluruh pelusuk Kedah, termasuklah Pulau Langkawi, genap tujuh hari selepas kematian Mahsuri. Segalanya punah, hancur dan kematian berlaku dimana-mana. Datuk Pekerma Jaya dibunuh dan dilapah oleh tentera Siam dan mayatnya dicampakkan di Sungai Langkanah. Manakala isterinya Wan Mahora, bersama wanita-wanita Langkawi yang lain, dirogol dan dijadikan hamba abdi oleh tentera Siam. Angkara hasad dengki dan fitnah, Langkawi menerima padah yang terlalu hebat. Penyesalan sudah tidak berguna lagi sebaliknya Langkawi hanya mampu menerima bahana, dan sumpahan Mahsuri kekal menghukum Langkawi untuk tujuh keturunan kemudiannya...

Sultan Mahmud Mangkat Dijulang


Kompleks Laksamana Bentan Megat Seri Rama dan
Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang Kota Tinggi, Johor

Kota Tinggi, Johor. 1699

Lanun bermaharajalela! Dari arah Sedili Besar hingga ke kepulauan Riau dan Pulau Penyegat, seluruh perairan Johor di kuasai oleh lanun. Kapal-kapal perdagangan begitu gusar untuk memasuki pelabuhan Johor kerana bimbang diserang mereka. Tak kurang juga penduduk-penduduk setempat yang tinggal disepanjang pantai kawasan tersebut. Sudah berapa lama nelayan bimbang untuk keluar ke laut. Keadaan terlalu menakutkan...Tapi tidak di Kota Tinggi. Pusat kerajaan Johor Lama. Terlalu gagah pertahanannya, dibawah kawalan Bendahara Tun Habib Abdul Majid dan Temenggung. Dan perlindungan yang begitu rapi ini membuatkan Sultannya yang masih muda berasa sangat selamat-Sultan Mahmud Syah II.
Pahlawannya pula sangat berwibawa dan bersedia untuk mengorbankan diri demi Sultannya pada bila-bila masa. Antaranya Laksamana Megat Seri Rama, laksamana muda yang datang ke Kota Tinggi dari sebuah wilayah jauh di selatan Kerajaan Johor, Pulau Bentan. Dan juga kerana tempat asalnya itu, beliau digelar Laksamana Bentan. Laksamana Bentan mendapat tempat yang istimewa di mata Sultan Mahmud kerana jasa-jasanya mempertahankan negeri dari ancaman musuh. Kerana itu Laksamana muda itu begitu cepat mencapai kedudukannya sekarang. Namun, sudah menjadi adat dalam masyarakat melayu, kadang-kadang kejayaan seseorang itu, selain dari memberi kegembiraan dan kebanggaan, turut mengundang hasad dengki kepada orang lain. Orang itu adalah Tun Bija Ali!
Sudah terlalu lama Tun Bija Ali berkhidmat kepada Kerajaan Johor, sejak dari zaman Almarhum ayahanda Sultan Mahmud hinggalah sekarang, masih belum mendapat perhatian dari Sultan. Tambahan kehadiran Laksamana baru itu, kini, Baginda Sultan seakan endah tak endah akan dirinya. Hati siapa tidakkan sakit?
Sakit hatinya bertambah-tambah lagi apabila Laksamana Bentan itu berjaya memiliki seorang dara yang juga ingin dimilikinya, Wan Anum. Gadis itu memang digilainya sejak kali pertama gadis itu menjejakkan kaki ke Kota Tinggi, setelah kematian ibu dan ayahnya dibunuh lanun di Mersing. Dia diselamatkan oleh Laksamana Megat Seri Rama dari tangkapan lanun tersebut sedikit masa dahulu dan dibawa ke Kota Tinggi untuk tinggal bersama datuk dan neneknya, Pak Mahad di Kota Tinggi. Sejak itu Wan Anum berkenan dengan Laksamana yang muda itu, dan ternyata, dia tidak bertepuk sebelah tangan. Dan Laksamana Megat Seri Rama mengambil keputusan untuk mengambilnya sebagai isteri, memandangkan Wan Anum seorang yatim piatu dan tambahan pula gadis itu amat luar biasa, lemah lembut dan cantik pula. Berkahwinlah mereka berdua dan tidak lama lagi pasangan muda itu bakal menimang cahaya mata. Wan Anum kini sedang berbadan dua dan hanya selang sebulan dua untuk menimang cahaya mata sulung.
Namun keadaan tidak selalunya seperti diharapkan. Harapan Wan Anum untuk bersama suami tercinta apabila dia melahirkan anaknya nanti tidak kesampaian. Baginda Sultan telah mengeluarkan perintah yang bahawa Laksamana Megat Seri Rama perlu mengetuai angkatan tentera Johor menentang lanun sekali lagi. Keadaan ancaman lanun lebih hebat kali ini dan ini memaksa Laksamana tidak lagi dapat menangguhkan lagi perintah baginda, walau bagaimana sekalipun beliau bimbangkan keadaan isteri tercinta. Dan Wan Anum perlu memahami keadaan tugas suaminya dan itu janji pada dirinya sejak dari hari pertama dia menerima lamaran Laksamana muda itu. Demi negara, dia rela, dan ini pun demi keselamatan dirinya juga. Dengan berat hati Wan Anum melepaskan Laksamana Megat Seri Rama pergi menjalankan tugas dilautan. Sepeninggalannya, Laksamana Megat Seri Rama mengamanahkan sahabat baiknya Tun Aman dan kakaknya Tun Khatijah menjaga isterinya Wan Anum.
Namun seseorang sedang memerhatikan peluang ini sebagai peluang yang amat menguntungkan. Keadaan Wan anum yang seorang diri tanpa suami disisi, akan dipergunakan sebaiknya, paling tidak untuk merasai wanita yang dulu pernah terlepas dari genggaman itu. Pada suatu malam, Tun Bija Ali menyusup masuk ke rumah Laksamana yang pada waktu itu Wan Anum sedang keseorangan. Wan Anum yang terperanjat tapi tidak mudah melatah. sekalipun berbadan dua, dia mencuba sedaya upaya menentang akan pencerobohan biadap Tun Bija Ali itu. Dan kegagalan itu membuatkan Tun Bija Ali tidak senang duduk. Bagaimana jika rahsia itu pecah dan sampai ke pengetahuan Laksamana? Pastinya Laksamana akan mengambil tindakan dan membunuhnya....jadi sebelum Laksamana bertindak keatasnya, biar dia bertindak dahulu.

Sudah hampir 2 bulan Laksamana pergi dan Wan Anum hanya mampu berdoa kepada doa demi keselamatan suami tercinta. Kandungannya semakin sarat. Tapi ada satu perkara yang membuatkan dia gelisah. Terlalu sukar hendak mendapatkan nangka kerana sekarang bukanlah musimnya berbuah, tapi itulah yang amat diidam-idamkan. Kecur tekaknya apabila mengenangkan ulas nangka yang manis tapi dimana hendak dicari? Awang, budak khadamnya itu sudah penat mencari, dari Kampung Bendahara ke Kampung Tembioh, dan seluruh Kampung Kelantan tempat tinggalnya itu masih tidak berjumpa. Setiap batang pokok nangka dibelek, usahkan buah, putik pun tiada.

Namun seakan harapan mula berputik bila terlihat Penghulu sedang mengusung sesuatu di bahu melintasi rumahnya. Dan ternyata ianya sebiji nangka yang sedang masak ranum dan luar biasa pula besarnya dalam perjalanan untuk dipersembahkan kepada Sultan. Wan Anum merayu untuk menjamah sedikit dari buah tersebut, seulas pun jadilah. Semata-mata untuk melepaskan rasa mengidam yang meluap-luap. Rasa simpati mencurah lalu diberikan seulas dari seluruh buah nangka tersebut. Tapi janji dibuat antara mereka berdua, jangan dibiarkan sesiapa yang lain tahu kelak badan binasa.

Malangnya Sultan Mahmud mencurigai akan buah nangka tersebut apabila terlihat akan kesan tebukan kecil pada kulitnya dan getah yang mengalir. Dan apabila dinyatakan angkara siapa, lalu Tun Bija Ali yang kebetulan berada bersama Sultan ketika itu sedar akan peluang ini tidak boleh dilepaskan. Dendam harus dilunas. Lalu dibisikkan kata hasutan, bahawa tindakan Wan Anum yang merasai nangka tersebut sebelum baginda ternyata membawa aib dan ternyata derhaka kepada baginda. Baginda Sultan yang termakan hasutan ternyata amat murka dan segera menitahkan Wan Anum mengadap. Wan Anum yang sedar keadaannya dirinya sedang terancam merayu kepada baginda bahawa tindakannya semata-mata kerana beliau sedang mengidam dan buah nangka yang dimakannya adalah kerana kehendak anak didalam kandungannya. Ternyata kata-katanya membawa padah! Sultan Mahmud menitahkan agar perut Wan Anum dibelah semata-mata untuk membuktikan dakwaannya! Tun Bija Ali amat gembira menerima titah tersebut, rahsianya akan terus berkubur, Wan Anum akan menerima padah dan dirinya akan terselamat.
Alangkah malang dan terseksa nasib Wan Anum, sembah rayu tidak dipandang oleh baginda....dan Wan Anum akhirnya terkulai, dengan kandungannya yang terburai. Tapi kuasa Allah Yang Maha Besar. Dakwaan Wan Anum ternyata benar, apabila terlihat oleh baginda dan Tun Bija Ali, terdapat cebisan nangka di mulut janin Wan Anum! Namun itu tidak membawa apa-apa kesan kepada Sultan Mahmud dan Tun Bija Ali, malah diperintahkan seluruh isi istana merahsiakan apa yang telah berlaku terutamanya dari pengetahuan Laksamana Megat Seri Rama.
Angkatan tentera Johor menang besar dengan berjaya mengalahkan lanun dan Laksamana Megat Seri Rama sudah tidak sabar benar hendak pulang ke Kota Tinggi untuk bertemu anak isteri yang pada jangkaannya tentu Wan Anum telah pun melahirkan zuriat mereka. Namun khabar mengatakan Wan Anum meninggal dunia semasa melahirkan anak mereka meluluhkan jiwa laksamana tersebut. Terlalu kecewa dan pedih dihatinya. Pada suatu hari, sewaktu berjalan pulang dari kubur, hujan renyai turun memaksa laksamana itu mencari tempat perlindungan dan dia singgah berteduh dibawah bumbung sebuah rumah pekerja istana. terdengar olehnya akan perbualan suami isteri didalam rumah tersebut mengenai penganiayaan dan dilakukan oleh Sultan Mahmud keatas Wan Anum. Rasa amarah meluap-luap dan membara, membakar rasa dendam yang teramat sangat. Tambahan pula, Tun Aman sahabat baiknya membuka rahsia, yang semua ini angkara dari Tun Bija Ali! Lalu sebuah pakatan dibuat untuk menyelesaikan kedua binatang bedebah tersebut.

Tun Bija Ali seorang yang kaki perempuan, walaupun telah beristeri empat tapi masih menggilai perempuan lain, antaranya Tun Khatijah, kekanda Tun Aman. Dan peluang ini digunakan oleh Tun Aman untuk memerangkap Tun Bija Ali dan hasilnya, Tun Bija Ali berkubur ditengah hutan tanpa diketahui sesiapa! Tersenyum puas Laksamana Bentan kerana orang yang menjadi onar telah pun menerima akibatnya namun itu belum cukup...

Pada suatu malam Jumaat, diperasap diasam keris panjang dan keris pendua. Esok, bumi Kota Tinggi bakal menjadi bertuah, dimana ditanahnya akan melimpah darah seorang Raja. Menjelang tengahari, sewaktu penduduk Kota Tinggi berpusu-pusu menuju ke Masjid Besar untuk menunaikan solat Jumaat, hujan renyai panas membasahi bumi. Sultan Mahmud Syah sedang dijulang pengiring-pengiringnya dari atas tandu ke tangga istana. Dan tiba-tiba Laksamana Megat Seri Rama muncul, menghalang laluan baginda. Diatas julangan tersebut, baginda ditikam dirusuk kiri membuat baginda dan orang-orangnya terpana, terkejut dengan apa yang berlaku. Tetapi dalam keadaan nazak, Baginda mencabut keris kerajaan yang tersisip dipinggangnya, lalu dilontar ke kaki Laksamana, lantas memaku Laksamana itu kebumi, sambil melafazkan kalimah

"Jika benar beta Raja berdaulat, beta haramkan sebarang anak Bentan dan seluruh keturunannya memijak bumi Kota Tinggi, jika diingkar beta sumpah muntah darah hingga putuslah nyawa!"

Dan tak semena-mena, Laksamana yang sedang cuba mencabut keris dikakinya, memuntahkan darah yang membuak-buak lalu rebah dikaki tangga masjid. Sementara Sultan Mahmud Syah mangkat diatas julangan pengiringnya. Sejak dari peristiwa itu baginda yang merupakan keturunan Kesultanan Melaka yang terakhir, digelar orang Marhum Mangkat Dijulang dan tidak meninggalkan sebarang pewaris takhta. Manakala diceritakan orang, sumpahan baginda masih tegar dan keras dibumi Kota Tinggi, Johor. Jenazah baginda dimakamkan di Kampung Makam dan Laksamana Megat Seri Rama pula, dikebumikan bersebelahan dengan kubur isteri dan anaknya di Kampung Kelantan, Kota Tinggi, Johor.

Kisah HMS Malaya

Siapa HMS Malaya?

sebelum negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, 42 tahun sebelumnya, sebuah kapal perang telah dibina dan dinamakan sempena nama tanah melayu yang bernama HMS Malaya.

ya anda tak silap baca, sebuah kapal perang. 

 HMS Malaya adalah antara kapal yang berada di dalam pengelasan kapal penempur Queen Elizabeth ( Queen Elizabeth class-battleship) di mana kapal ini dibina oleh Sir W.G Armstrong Withworth dan syarikatnyaKapal yang seberat 33 020 tan ini telah ditaja oleh raja-raja dari Persekutuan Negeri Melayu ( negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri sembilan) dinamakan MALAYA. cadangan bagi membiayai pembinaan kapal perang ini telah dibuat oleh sultan Perak pada tahun 1913 , disokong oleh Sultan Selangor. Namun begitu, kapal perang ini dibina untuk kegunaan Tentera Laut Diraja British, sebagai penghormatan bagi Persekutuan Melayu yang membiayai kos pembinaan, kapal ini diberi nama HMS Malaya. ternyatalah kalau anda tertanya-tanya sekarang kalau kapal perang tanah persekutuan, di mana bangkai nya? jelas di sini, pembiayaannya adalah untuk kegunaan tentera british. bangkainya? tunggu di akhir cerita.
Saiz HMS Malaya 196.82 meter dan mampu belayar selaju 25 knot dilengkapi turbin Parsons Stim yang terdiri daripada 24 buah turbin pada kelajuan 56 500 kuasa kuda. HMS Malaya telah dilancarkan pada bulan Mac 1915 8 buah MK I 15-inch/42 senjata ( 4x2) , 16 /14 ( kapal-kapal lain) , MK XII senapang 6 inci, 2 buah senjata anti pesawat 3 inci, 4 buah senapang saluting 3-pdr (47mm), 4 buah tiub torpedo 1916 21 inci (530mm) , 2 senapang bersaiz 6 inci yang dikeluarkan daripada dek forecastle , 8 senapang 15 inci ( 4 x 2) , 8 senjata tunggal 6 inci, dan 8 buah MKXVI senjata anti pesawat 4 inci.

HMS malaya telah berkhidmat pada perang dunia pertama dan perang dunia kedua, ketika perang dunia pertama, ramai penduduk tanah melayu yang menderma kepada british untuk berperang di eropah, HMS Malaya berkhidmat di bawah skuadron Battle 5 diketuai Admiral Hugh Evan-Thomas. kapal perang tersebut mengambil bahagian dalam Pertempuran Jutland pada 31 Mei 1916 menentang tentera jerman,  dimana HMS Malaya telah diserang lapan kali dan mengalami kerosakan yang teruk lantas memberi kesan kepada anak-anak kapal. Seramai 65 orang telah meninggal dunia dalam pertempuran. Kapal tersebut mengambil masa selama 8 minggu untuk proses baik pulih. Kapal HMS Malaya antara yang unik dalam kalangan kapal-kapal pertempuran dengan menerbangkan bendera merah-putih-hitam-kuning lambang Negeri Melayu Bersekutu.

  

 
anda nampak harimau malaya di sana? 

Semasa Perang Dunia Kedua, HMS Malaya berada di Mediterranean padatahun 1940 dan mengambil bahagian dalam operasi menentang ArmadaItali. Kapal perang itu juga terlibat dalam kejadian konvoi pengiringterhormat di Coast Afrika barat. Semasa operasi ini HMS Malaya terlah diserang torpedo oleh Jerman U-bot U-106 pada 20 Mac 1941mengakibatkan kapal tersebut menjadi senget pada 7 darjah akibat ditembak teruk dan proses pembaikan telah dijalankan di Amerika Syarikat dari Julai 1941 hinggamusim panas tahun 1943, kemudiannya kembali berkhidmat lagi dalam memberi perlindungan Konvoi di UK ke Malta dan Capetown.
                        .
HMS Malaya akhirnya ditarik balik daripada semua jenis perkhidmatan pada akhir 1944 dan menjadi kapal penginapan untuk sekolah torpedo. Kapal perang tersebut telah dijual pada 20 Februari 1948 untuk Industri Logam,dan tiba di Faslane pada 12 April 1948 untuk pelupusan.

Fakta menarik : pada 17 November 1922, HMS Malaya juga pernah membawa Sultan Terakhir Empayar Uthmaniyyah, Mehmed VI, dari Istanbul ke Malta ( dan kemudian San Remo) , Pada bulan Ogos sehingga september 1938 , HMS MAlaya berkhidmat di pelabuhan Haifa semasa kebangkitan arab. 

Fakta Menarik :  loceng kapal dapat dilihat di India Club East, London